Love Conquers All︱What does not kill you makes you stronger
|
|

PEMBIKIN filem tempatan arus perdana, sila ambil perhatian! Sementara anda riuh dengan segala anugerah dalam negara, seronok dengan kilauan glamor atau bising dengan segala masalah dalam industri filem tempatan, sekumpulan pembikin filem muda dari arus filem alternatif mula mendapat tempat di festival-festival filem luar negara.
Filem-filem mereka mendapat perhatian kerana naratifnya yang berupaya merakamkan emosi yang dialami oleh watak-watak daripada sesebuah kelompok minoriti masyarakat dan juga berupaya melihat sesuatu isu daripada sudut yang berlainan daripada kefahaman perdana. Sebahagian daripada persoalannya dilihat secara emosi dan sebahagiannya dilihat secara sinis.
Filem ini Love Conquers All mengambil lanskap Malaysia tetapi membawakan kegelisahan sebuah komuniti dalam sebuah negara yang majoritinya adalah orang Melayu. Kegelisahan ini dijelmakan daripada liku-liku kehidupan yang harus dilalui oleh watak utamanya, seorang gadis. Dan dalam filem ini golongan majoriti ini sengaja diketepikan untuk memberikan tumpuan kepada watak-watak yang hidup dalam kelompoknya sendiri.
Love Conquers All adalah karya dan arahan Tan Chui Mui, graduan dari Universiti Multimedia Malaysia. Bersama Ho Yuhang (Rain Dogs), James Lee (My Beautiful Washing Machine), Amir Muhammad (Lelaki Komunis Terakhir, Susuk), Yasmin Ahmad (Sepet, Gubra) dan Deepak Kumaran Menon (Chemman Chaalai), mereka dilihat sebagai kumpulan alternatif kepada sinema Malaysia (Chui Mui melalui wawancara dalam Off The Edge menyatakan mereka Sidestream filmmakers).
Cara mereka bekerja, melihat dan mentafsir realiti dan isu di sekitar mereka adalah berbeza dengan pengarah arus perdana Malaysia yang sebahagian besarnya didokong oleh pengarah Filem Melayu. Sebagaimana biasanya gerakan pembikin filem alternatif, mereka bekerja dalam satu kumpulan.
Hal ini mungkin disebabkan mereka saling memahami antara satu sama lain, saling memahami konsep dan stail mereka. Dengan itu tidak hairan dalam Love Conquers All, lakon layar ditulis oleh Tan Chui Mui, kamera oleh James Lee, disunting oleh Ho Yuhang dan diterbitkan pula oleh Amir Muhammad.
Filem Love Conquers All dibuka dengan syot panjang adegan dalam sebuah bas yang sedang dalam perjalanan, seorang gadis (yang kemudian kita kenali sebagai Ah Ping lakonan Coral Ong Li Whei) duduk bersebelahan dengan seorang lelaki keturunan India.
Mereka bersama dalam sebuah perjalanan yang sengaja tidak dijelaskan ke mana. Bas dibawa dengan kelajuan yang agak kasar dan bunyi bising persekitaran. Adegan pembukaan ini diulang dalam adegan penutup, namun kali ini bukan gadis tersebut tetapi makcik gadis ini dengan anak perempuannya, Mei (Jiun Jiun) pula dalam perjalanan menaiki sebuah motosikal.
Adegan-adegan ini perlu difahami dalam konteks keseluruhan cerita dalam filem ini. Adegan pembukaan membawa makna satu perjalanan hidup yang keras tetapi masing-masing sentiasa memandang ke hadapan untuk melihat harapan yang tidak jelas dalam suasana yang tidak pasti (kerana haluan bas tidak ditunjukkan begitu juga tentang perjalanan itu. Metafora dalam sebuah perjalanan ini membawa kepada gambaran tentang
perjalanan sebuah kehidupan).
Pemandangan indah dalam perjalanan kelihatan kabur tanpa dikenal. Manakala adegan penutup di sekitar jalan kecil yang berliku tanpa penghujung mungkin membawa persoalan tentang kitaran jalan hidup yang bakal dialami oleh anak kecil tersebut dalam kehidupan masa depannya yang belum pasti walaupun dia mungkin berjaya dalam pelajarannya, dan mungkinkah negara ini dapat menyelami masalah mereka. Lagu rentak march yang mengiringi adegan akhir ini adalah tentang harapan tersebut.
Kisah Ah Ping dan John (Stephen Chua) sengaja dihilangkan dan adegan penamat sengaja ditumpukan kepada Mei sebagai gagasan oleh Chui Mui tentang peralihan permasalahan sosial yang mungkin tidak selesai dalam satu generasi.
Semasa tinggal dan bekerja di restoran makciknya, Ah Ping berkenalan dengan seorang pemuda bernama John yang awalnya sentiasa mengekori ke mana sahaja Ah Ping pergi. Perkenalan Ah Ping dengan John yang kelihatan baik itu akhirnya memerangkap dirinya.

Emosi
Teknik naratif yang dilakukan oleh Chui Mui dalam Love Conquers All nyata cukup memikat, elemen dramatiknya meningkat, antara keyakinan dan harapan penonton. Ceritanya berjalan lancar, watak-wataknya yang penuh emosi kelihatan begitu bersahaja dan tidak ada aksi yang tahap dramatiknya yang tinggi.
Tanpa muzik yang melengkapkan sesebuah adegan tetapi elemen senyap meningkatkan kesan keterasingan dan juga mencipta kesan dramatik yang mencengkam. Penonton yakin Ah Ping tidak akan terperangkap hingga akhirnya menjadi seorang pelacur dan mereka mengharapkan John bukanlah seorang pelacur kerana John yang kelihatan baik itu tidak mungkin akan menganiaya gadis senaif Ah Ping. Tetapi cerita filem ini tidak begitu. Cinta dan kenaifan nyata memerangkap. Plot filem ini seperti satu permainan.
Tan Chui Mui sebenarnya mengangkat sebuah subjek yang menjadi sebahagian realiti sosial yang berlaku dalam sebuah masyarakat minoriti yang perlu bekerja keras untuk kehidupan mereka. Subjek tentang masyarakat minoriti yang bergelut dengan pelbagai permasalahan dalam sebuah masyarakat majoriti yang melihat mereka sebagai orang lain, mengingatkan saya kepada hasil kerja Wayne Wang (pengarah China-Amerika) yang mengangkat permasalahan minoriti China di Amerika dalam filem-filemnya seperti "Chan is Missing" dan "Joy Luck Club".
Wayne Wang dan Chui Mui mengangkat permasalahan yang hampir sama dalam filem-filem mereka. Tetapi dalam
hasil kerjanya, Tan Chui Mui nampaknya lebih banyak dipengaruhi oleh stail pengarah Taiwan, Hou Hsiao-Hsien dan Tsai Ming Liang (Pengarah kelahiran Sarawak).
Sekarang ini, Tan Chui Mui sedang dalam persiapan untuk projek filemnya yang akan datang Living Quietly dengan bantuan geran kewangan yang diberikan oleh Locarno International Film Festival. Filem Love Conquers All telah memenangi anugerah Fipresci di Festival Filem Pusan ke-11.
Filem: Love Conquers All Arahan: Tan Chui Mui,
Lakonlayar: Tan Chui Mui, Pelakon: Coral Ong Li Whei,
Stephen Chua Jyh Syh, Ho Chi Lai, Leong Jiun Jiun,
dll. Tayangan di GSC, KL & P Pinang.
oleh A. WAHAB HAMZAH (UTUSAN MALAYSIA 9 Jan 2007)
| Sun | Mon | Tue | Wed | Thu | Fri | Sat |
|---|---|---|---|---|---|---|
| << < | ||||||
| 1 | 2 | |||||
| 3 | 4 | 5 | 6 | 7 | 8 | 9 |
| 10 | 11 | 12 | 13 | 14 | 15 | 16 |
| 17 | 18 | 19 | 20 | 21 | 22 | 23 |
| 24 | 25 | 26 | 27 | 28 | 29 | 30 |
| 31 | ||||||